KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membidas tindakan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd yang menggantung operasi serta-merta tanpa notis awal pada Khamis.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab apatah lagi pada waktu operasinya digantung, MYAirline seolah-olah terus 'menghilangkan diri'.

Menurutnya, bukan hanya kapal terbang tidak beroperasi malah kakitangan mereka juga tiada di lapangan terbang untuk memaklumkan situasi semasa kepada pelanggan.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan ia menjejaskan, bukan sahaja nama syarikat itu tapi menjejaskan imej negara sebagai sebuah destinasi pelancongan.

“Sudah tentu ada juga penumpang antarabangsa terjejas, bukan sahaja penumpang domestik yang membeli tiket kapal terbang untuk ke destinasi domestik.

“Saya tidak tahu berapa jumlahnya tapi saya pasti ada penumpang antarabangsa yang terjejas juga,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Khamis.

MYAirline sedia laksana proses pemulangan wang tiket

BACA: Anthony Loke terkejut tindakan MYAirline, 125,000 penumpang terjejas

BACA: 10,000 penumpang terjejas susulan penggantungan operasi MYAirline


Astro AWANI pada Khamis melaporkan seramai 10,000 ribu penumpang daripada 39 penerbangan terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline.

Angka berkenaan melibatkan jadual penerbangan sehingga hari ini (12 Oktober).

Perkara berkenaan dimaklumkan Malaysia Airports menerusi satu kenyataan pada Khamis.

MyAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, 12 Oktober 2023.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.