Setiausaha Agung MIC, Datuk G Kumar Aamaan akan meneruskan tindakan mengadakan mogok lapar setelah tidak dapat bertemu dengan wakil daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) petang tadi.

Antara tujuan beliau ke ROS adalah untuk memberi penjelasan dan juga surat pelantikan Setiausaha Agung MIC oleh Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

Kumar Aamaan yang bertemu dengan pemberita di luar ibu pejabat ROS enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung ROS.

Beliau diwakili peguamnya R T Rajasegaran.

"Jikalau pelantikan beliau (Kumar Aamaan) tidak sah kerana tidak memberikan notis kepada ROS namun bagaimana beliau hendak beri notis jika beliau tidak dibenarkan bertemu Ketua Pengarah. Ini sudah berlaku sebanyak dua kali.

"Tadi kita tidak dapat bertemu Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, malah tiada pegawai yang dapat bertemu kami," kata Rajasegaran.

Beliau turut memberitahu bahawa Kumar Aamaan ingin siasatan semula pemilihan MIC kerana merasakan terdapat penyelewengan dalam siasatan sebelum ini.

"Berikan pegawai penyiasat yang baharu untuk mendapatkan siasatan yang bebas. Jikalau didapati parti perlu mengadakan pilihan semula, tiada masalah. Kami ikut sahaja," kata Rajasegaran.

Kumar Aamaan juga akan menyerahkan surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara kandungan surat berkenaan adalah mengenai ketidakpercayaan beliau terhadap kakitangan ROS dan siasatan semula pemilihan parti MIC.

Kumar berkata beliau akan terus berada di ibu pejabat ROS sehingga Ketua Pengarah ROS dan pegawai penyiasat ditukarkan.

Sementara itu, Ketua Penerangan MIC, L. Sivasubramaniam yang turut berada dalam sidang media yang sama berkata ROS tidak berhak untuk memutuskan pelantikan Kumar Aamaan selaku Setiausaha Agung sebagai tidak sah.

"Setiausaha Agung dipilih oleh Presiden. Mengapa ROS berkata ia tidak sah? Itu bukan tugas ROS," kata Sivasubramaniam.

Beliau turut meluahkan ketidakpuasan kerana Kumar Aamaan tidak dibenarkan untuk bertemu wakil ROS.

"Kenapa ROS boleh bagi kebenaran untuk Naib Presiden MIC (Datuk M.Saravanan) bertemu dengan Ketua Pengarah namun Setiausaha Agung yang dilantik oleh Presiden tidak dibenarkan," katanya.