MALAYSIA

Tidak dapat KM dari PBT, projek ladang babi di Jalong diarah henti serta-merta - Exco

Bernama 07/02/2026 | 07:30 MYT
Kompaun telah dikenakan terhadap pemaju kerana tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi kerja pembinaan. - Gambar hiasan
IPOH: Projek pembinaan ladang babi di Jalong, Sungai Siput diarah henti serta merta susulan tidak mendapat kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak Datuk A Sivanesan berkata kompaun telah dikenakan terhadap pemaju kerana tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi kerja pembinaan.

"Saya akan lakukan lawatan di lokasi berkenaan pada minggu ini untuk memastikan tindakan yang dikenakan itu dilakukan oleh pihak pemaju ladang berkenaan.

"Bagi kita, bukan hanya ladang babi malah mana-mana pembangunan atau pembinaan tanpa kebenaran merancang itu melanggar undang-undang dan perlu dikenakan tindakan sewajarnya termasuk denda," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-30 Hospital Pantai Ipoh di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Siput Ariff Zaky Zolkafly melalui hantaran di Facebook beliau mendakwa, pemaju projek kandang babi itu sudah diberi notis menghentikan kerja selain dikompaun RM25,000 oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sungai Siput serta Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi setiap satu daripada tujuh lot projek berkenaan.

Ariff Zaky mendakwa pihak yang merancang membangunkan ladang babi berskala besar meliputi keluasan 12 hektar itu sudah melakukan kerja awal tapak sejak tiga bulan sebelumnya.

Sementara itu, Sivanesan berkata pihaknya berharap perkara ini dipandang serius oleh semua pengusaha ladang babi demi memastikan setiap aktiviti penternakan mematuhi undang-undang serta piawaian penternakan khinzir moden.

Dalam pada itu beliau berkata sebanyak 45 peratus daripada 85 ladang babi di Perak telah beralih kepada penternakan secara moden manakala 20 peratus lagi sedang melengkapkan proses menaik taraf kepada sistem tersebut.

"Langkah diambil ini penting bagi meningkatkan produktiviti dan keselamatan, tetapi juga bagi mengurangkan risiko penularan wabak deman babi Afrika ASF di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA


#Perak #ladang babi #Jalong #A Sivanesan