MALAYSIA
Tidak diberi minum berjam-jam, Heliza Helmi dedah terpaksa minum air tandas

Heliza bersama adiknya, Hazwani merupakan antara aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza. - Gambar Reuters
ISTANBUL: “Kami dihujani water cannon, diikat tangan di belakang, tak diberi makan dan minum, akhirnya terpaksa minum air tandas untuk terus hidup.”
Itu luahan penuh emosi aktivis kemanusiaan dan pempengaruh Heliza Helmi ketika berkongsi pengalaman ngeri ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza.
Dalam temu bual eksklusif bersama Ketua Editor Media Sosial Astro AWANI, Hilal Azmi di sini, Heliza menyifatkan, pengalaman itu sebagai bukti nyata kekejaman rejim Zionis terhadap aktivis yang hanya membawa misi kemanusiaan.
“Kami diserang dengan water cannon hingga kapal kami hampir tenggelam. Kapal kami kecil, jadi setiap hentaman membuatkan ia bergoyang kuat... tapi kapten kami terus bersemangat, siap kira jarak ke Gaza sebab niat kami hanya satu iaitu nak sampai kepada saudara-saudara kami di sana,” katanya.
Menurut Heliza, keadaan menjadi lebih buruk selepas mereka ditahan dan dibawa ke darat.
“Kami diikat tangan ke belakang selama berjam-jam, berpanas dan langsung tidak diberi makan atau minum. Kali terakhir kami minum ialah pada 1 Oktober. Selepas itu, bila kami minta air, mereka biarkan. Akhirnya kami terpaksa minum air tandas,” katanya dalam nada sebak.
Heliza turut berkongsi detik sebelum dimasukkan ke penjara, apabila disoal dengan sinis oleh tentera Israel tentang sebab mereka ke Gaza.
“Dia tanya saya, ‘kenapa kamu ke Gaza?’ Saya jawab, ‘untuk beri bantuan makanan.’ Dia pandang saya dan jawab, ‘welcome to jail.’ Saat itu saya sedar, inilah realiti rakyat Palestin, mereka tidak bersalah, tapi tetap dipenjara dan dibunuh,” katanya.
Heliza berkata, walaupun berdepan penyeksaan, semangat solidariti daripada rakan aktivis antarabangsa memberi kekuatan untuk terus bertahan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami