[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Tidak mahir jalan alasan lelaki pandu Myvi lawan arus

Sinar Harian 27/03/2025 | 06:30 MYT
Klip video kejadian yang tular di media sosial. -Sinar Harian/Video tular
GEORGE TOWN: Seorang lelaki disaman selepas memandu kenderaannya secara melawan arus di Jalan Masjid Negeri di sini pada minggu lalu.

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki disaman kerana memandu secara melawan arus di Jalan Masjid Negeri pada 23 Mac.
  • Lelaki itu mendakwa tidak mahir dengan arah jalan di negeri tersebut dan tiada kemalangan berlaku akibat kejadian itu.
  • Ketua Polis Daerah Timur Laut menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan atau menggunakan aplikasi navigasi untuk mengelakkan kesilapan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikenakan saman trafik di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 10.50 malam, 23 Mac lalu yang mana, kereta jenis Perodua Myvi itu dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki.
"Hasil siasatan polis mendapati, kereta tersebut didaftarkan di bawah nama seorang wanita warga tempatan berusia 32 tahun yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.
"Bagaimanapun, ketika kejadian kereta tersebut dipandu suami kepada wanita berkenaan.
"Lelaki itu mendakwa dia baru bekerja di negeri ini dan tidak mahir dengan arah jalan di sini lalu termasuk ke laluan melawan arus di Jalan Masjid Negeri secara tidak sengaja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun kata beliau, tiada kemalangan melibatkan kenderaan lain dalam kejadian berkenaan.
Abdul Rozak turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar merancang perjalanan atau menggunakan aplikasi navigasi dalam talian semasa memandu bagi mengelakkan melakukan kesilapan di atas jalan raya sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Sebelum ini, satu klip video memaparkan kejadian tersebut tular di media sosial pada Rabu dan ia telah menarik perhatian masyarakat umum.
Ini kerana, perbuatan memandu melawan arus akan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. -Sinar Harian
#lawan arus #Jalan Masjid Negeri #Myvi #tidak mahir dengan arah jalan