MALAYSIA

Tidak pakai tali pinggang keledar dalam bas, 16 penumpang disaman JPJ

Adie Sufian Zulkefli 02/07/2025 | 03:30 MYT
Stien Van Lutam (dua dari kanan) menyapa penumpang semasa meninjau operasi JPJ terhadap pemandu dan penumpang bas di Plaza Tol Alor Setar Utara, dan Terminal Bas Sahab Perdana, Alor Setar, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengenakan saman ke atas 16 penumpang bas ekspres dan bas persiaran selepas dikesan tidak memakai tali pinggang keledar dalam operasi khas penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan semua penumpang bas ekspres dan bas persiaran.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, menerusi operasi itu sebanyak 18 bas di pemeriksa dimana 14 daripadanya bas ekspres manakala empat lagi bas persiaran.
Beliau berkata, 16 penumpang dikenakan kompaun RM300 setiap seorang manakala dua kesalahan dilakukan penumpang di bawah usia 18 tahun diberikan nasihat dan advokasi.
Katanya, JPJ Kedah turut menggunakan strategi penyamaran anggota yang akan merekod kesalahan yang dilakukan pemandu dan penumpang dan kompaun akan terus dikeluarkan sekiranya dikesan melakukan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.
“Penguatkuasaan kita bukan hanya terhad membuat sekatan di jalan raya ataupun pemeriksaan di terminal bas tetapi kita juga akan melaksanakan penyamaran di dalam bas maknanya sekiranya terdapat penumpang ataupun pemandu sendiri yang tidak mengenakan tali pinggang keledar ada bukti visual di situ kita akan keluarkan kompaun,” katanya.
Menurut Stien, tindakan diambil di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-kanak) 1978 Pindaan (2008).
Katanya, penumpang boleh membuat aduan kepada pemandu bas sekiranya tali pinggang tidak berada di dalam keadaan tidak baik sebelum memulakan perjalanan.
Operasi bermula pada 1 Januari 2020, pengusaha bas ekspres perlu bertanggungjawab dalam memastikan bas wajib mempunyai tali pinggang keledar.
Terdahulu Stien ditemui ketika melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang bas di Plaza Tol Alor Setar Utara, dan Terminal Bas Sahab Perdana bermula jam 5 petang sehingga 10 malam tadi.
#JPJ #tali pinggang keledar #penumpang bas #JPJ saman penumpang