MALAYSIA
Tidak perlu bimbang bawa anak dapatkan suntikan imunisasi Measles, Rubella - Exco
Gooi berkata inisiatif pemberian imunisasi tambahan itu bertujuan meningkatkan imuniti kelompok seterusnya menyokong matlamat negara untuk mencapai penghapusan atau eliminasi penyakit Measles menjelang 2030. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Ibu bapa tidak perlu bimbang untuk membawa anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi tambahan Measles-Rubella (MR) daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang bermula 4 Ogos hingga 21 Okt depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella atau MR SIA disasarkan terhadap kanak-kanak berusia enam hingga 59 bulan atau yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Jan 2025.
"Measles dan Rubella merupakan penyakit mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru (pneumonia), radang otak (ensefalitis) dan sawan, malah lebih teruk boleh menyebabkan kematian.
"Pengambilan suntikan amat penting bagi memberikan perlindungan awal serta mencegah penularan penyakit tersebut, jadi saya seru ibu bapa dan penjaga segera membawa anak-anak yang layak untuk menerima dos tambahan vaksin MR ini secara percuma," katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata inisiatif pemberian imunisasi tambahan yang diselaraskan bersama kempen peringkat kebangsaan itu bertujuan meningkatkan imuniti kelompok seterusnya menyokong matlamat negara untuk mencapai penghapusan atau eliminasi penyakit Measles menjelang 2030.
Gooi berkata statistik kebangsaan menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda kes berkenaan tahun lepas, iaitu 3,791 kes berbanding 2,002 kes pada 2023 dengan tiga kematian dilaporkan pada 2024 melibatkan kanak-kanak yang tidak pernah menerima vaksin Measles.
Di Pulau Pinang, beliau berkata 84 kes telah dilaporkan sepanjang 2024, meningkat mendadak berbanding 20 kes pada tahun sebelumnya.
Sebanyak 24 kes katanya telah direkodkan sejak Januari hingga 26 Julai lepas, manakala analisis mendapati hampir separuh daripada kes terbabit berpunca daripada status imunisasi yang tidak lengkap.
"JKN mensasarkan 65,500 kanak-kanak bagi program MR SIA di Pulau Pinang, namun setakat 19 Ogos hanya 19,600 golongan sasar itu menerima imunisasi tambahan tersebut atau 29.92 peratus menunjukkan masih ramai belum diberikan perlindungan dan usaha perlu dipertingkatkan," katanya.
Gooi berkata pasukan outreach JKN Pulau Pinang akan turut digerakkan ke tadika, pusat komuniti dan penempatan bukan warganegara bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada mendapatkan perlindungan imunisasi melalui program itu.
-- BERNAMA