KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja menggariskan tujuh perkara yang perlu diberi keutamaan pasca pertemuan di Istana Negara yang berlangsung hari ini.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Al-SuItan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, sesi perbincangan itu turut dihadiri oleh Sultan-sultan, Raja dan Yang Dipertuan dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Kedah, Pahang dan Perlis.

Perkara itu dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan pasca pertemuan itu.

Raja-Raja Pemerintah telah sependapat dalam perkara-perkara berikut:-

(i) Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara- perkara lain.

(ii) Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

LAPOR LANGSUNG: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong

(iii) Program menangani wabak COVID-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

(iv) Kaedah menangani wabak COVID-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

(v) Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

(vi) Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

(vii) Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.