"Tidak perlu pengampunan jika tidak bersalah" - Najib Razak

Hakim Rahman
Ogos 13, 2021 07:48 MYT
Najib Razak mengulangi hasrat untuk melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus tanpa campur tangan politik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan ada berhubung dengan Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) mengenai petisyen memohon Pengampunan Diraja ke Istana Negara pagi tadi.
Dalam hantaran di Facebook beliau pada Jumaat, Ahli Parlimen Pekan itu menghargai tindakan NGO berkenaan yang mengambil berat tentang dirinya, namun menafikan pernah berhubung dengan mereka.
Najib dalam masa sama turut mengulangi hasrat untuk melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus tanpa campur tangan politik.
Katanya, itu merupakan satu-satunya cara sahaja untuk bersihkan nama sepenuhnya.
"Saya amat yakin saya tidak bersalah. Sebab itu apa perlunya saya diampun sekiranya saya tak salah?" tulis beliau dalam hantaran itu.
Sumber Facebook najibrazak
BACA: NGO mohon Pengampunan Diraja, mahu Najib Razak jadi PM Interim
BACA:
Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International
Malah, Najib mendakwa tindakan media tertentu yang menyiarkan penyerahan petisyen itu secara langsung mahu 'mengenakan' beliau.
PSUAM pada Jumaat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon Pengampunan Diraja diberikan kepada Najib sekali gus melantiknya sebagai Perdana Menteri Interim.
Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, pelantikan Najib menepati kriteria sebagai Perdana Menteri Interim untuk menyelamatkan negara dari kemelut politik dan pandemik ketika ini.
Pada 7 Julai 2020 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau ketika ini sedang mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan kes berhubung keputusan tersebut.
Najib juga berdepan perbicaraan lain melibatkan dana 1MDB Bhd, pertuduhan meminda laporan audit berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain tuntutan cukai RM1.69 billion daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
#Facebook #Najib Razak #NGO #Perdana Menteri #rayuan #mahkamah