'Tidak sangka seseorang akan guna akaun Najib Razak untuk gubah wang haram' - Bekas Pengurus Ambank

Bernama
Februari 7, 2023 07:01 MYT
Yu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam perbicaraan rasuah Najib atas dakwaan menyeleweng bilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB). - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu Gin Ping memberitahu dia tidak menyangka seseorang akan menggunakan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk aktiviti pengubahan wang haram.
Yu juga percaya Najib sedia maklum mengenai transaksi dalam akaun bank yang telah diklasifikasikan bank dan menjadi keutamaan bank untuk melindungi identiti pelanggan sebagai ahli politik.
Yu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam perbicaraan rasuah Najib atas dakwaan menyeleweng bilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dalam masa sama, Shafee meminta Yu menjawab alasan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menggunakan nama kod yang berbeza seperti "Pai Amerika" untuk USD dan "satay" untuk Ringgit dalam urusan mereka dengan akaun Najib.
Shafee menegaskan bahawa Ambank sepatutnya dimaklumkan tentang tingkah laku Jho Low kerana seseorang akan menggunakan nama kod apabila terlibat dalam pengubahan wang haram.
Terdahulu, bekas pegawai bank itu mengakui bahawa dia tidak berunding dengan Najib dalam mengendalikan akaunnya dan sebaliknya berurusan dengan Jho Low.
Yu berkata, dia tidak ragu-ragu bahawa ahli perniagaan yang melarikan diri itu ada berhubung dengan pemegang akaun itu kerana dia yang datang dan membuka akaun Najib di bank tersebut.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah diteruskan.
#pengubahan wang haram #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #1MDB