Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah serta pil khayal bernilai RM194,976 di sebuah pangsapuri di Muara Tabuan, petang semalam.

Serbuan pada jam 4 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil risikan dan maklumat awam.

Turut dirampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dan wang tunai RM2,000.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek lelaki yang berusia 45 tahun itu ditahan di parkir kereta apartmen berkenaan bersama satu beg galas.

Pemeriksaan lanjut menemui syabu seberat 2.1 gram dan 100 biji pil eramin 5 di dalam beg galas berkenaan.

“Di dalam beg ini mengandungi 163 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal, syabu seberat 611.79 gram dan 140 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi beratnya 50.18 gram dan 650 biji pil jenis eramin 5 seberat 180.63 gram,” kata Abang Ahmad Abang Julai dalam sidang medianya di Kuching.

Menurutnya lagi suspek mengakui bergerak solo menjalankan kegiatan haram itu sejak tahun lalu bagi menjual dadah kepada penagih tempatan.

Suspek menjual dadah secara bersemuka dan turut menggunakan kaedah pindahan akaun sebelum diserahkan kepada penagih di lokasi tertentu.

Dia yang tidak bekerja dipercayai menampung kehidupannya dengan mengedar dadah di sekitar daerah ini.

Pasangan itu kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung jika sabit kesalahan.