Tidak semua pelarian Rohingya di Melaka berdaftar dengan UNHCR

Bernama
November 26, 2019 04:43 MYT
DUN Melaka dimaklumkan, menurut UNHCR terdapat seramai 2,139 orang pelarian yang telah berdaftar dengan badan antarabangsa itu di negeri ini. - Foto BERNAMA
Tidak semua dari kalangan kira-kira 5,000 pelarian Rohingya di Melaka berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada Selasa.
Beliau memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini bahawa Majlis Rohingya Malaysia (MRM) Melaka kini membantu mengumpul maklumat setiap pelarian Rohingya agar mereka berdaftar dengan UNCHR.
"MRM bergerak dari rumah ke rumah untuk mengumpul data pelarian dan mewakili masyarakat Rohingya untuk berurusan dengan pihak kerajaan serta agensi antarabangsa," katanya.
Adly (AMANAH-Bukit Katil) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) mengenai jumlah pelarian Rohingya di negeri ini dan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagai menangani masalah sosial di kalangan pelarian tersebut seperti masalah kebersihan ketenteraman awam.
Beliau berkata menurut UNHCR terdapat seramai 2,139 orang pelarian yang telah berdaftar dengan badan antarabangsa itu di negeri ini.
Katanya antara langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani masalah sosial pelarian Rohingya yang datang ke negeri ini adalah dengan mewujudkan kawasan berkelompok khusus untuk mereka iaitu di Tanjung Minyak.
Beliau berkata selain itu kerajaan negeri turut menyediakan lokasi dan sukatan pelajaran khas kepada anak-anak pelarian Rohingya berhubung ilmu akdemik, keagamaan dan kemahiran asas seperti yang termaktub dalam Artikel 22 Konvensyen Pelarian 1951.
--BERNAMA
#Adly Zahari #berdaftar #Dewan Undangan Negeri #DUN #DUN Melaka #Majlis Rohingya Malaysia #Melaka #pelarian #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Rohingya #UNHCR