BERA: Tidak wujud lagi istilah ‘kluster Putrajaya’ atau ‘kluster PWTC’ selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO setuju menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, keputusan itu menunjukkan perpaduan dalam UMNO sentiasa terjalin dan tidak ada apa yang perlu diragukan.

"Dengan keputusan ini, jangan ragu-ragu lagi antara kita. Tidak ada kluster Putrajaya atau kluster PWTC. Kita sebenarnya bersatu padu.

"Kita harus bersyukur dan menyambut baik keputusan MKT bahawa calon Perdana Menteri PRU-15, Insya-Allah jika BN menang, akan terusi diterajui Ismail Sabri.

"Marilah kita berdoa, agar BN akan kembali menang pada PRU akan datang dan Ahli Parlimen Bera ini terus menjadi Perdana Menteri," katanya yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada selepas Majlis Perasmian MG Koopmart dan Jualan Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di Bera pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 234 usahawan kecil kendalian Tekun Nasional (Tekun) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima bantuan bencana banjir.

MKT UMNO pada Khamis sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU-15.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan selepas mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ahmad dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.]

Artikel asal di Sinar Harian boleh dibaca di sini