KAPAR: "Tidur kami tidak pernah lena setiap kali hujan turun."

Itu luahan penduduk di Meru, dekat sini, yang masih trauma dengan kejadian banjir kilat yang berulang kali berlaku di daerah Klang itu.

Taman Daya Maju adalah antara lokasi yang teruk terjejas akibat banjir kilat pada Jumaat.

Belum pun berganti perabot yang musnah ketika banjir beberapa bulan lalu, kali ini mereka diuji lagi.

IKUTI SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI 

Taman Daya Maju, Meru, Kapar adalah antara lokasi yang teruk terjejas akibat banjir kilat pada Jumaat.

Bagi seorang penduduk, Saidatul Akma, setiap kali banjir kilat berlaku, dia dan suami sudah tidak berdaya untuk turun naik tangga rumah, bagi menyelamatkan harta benda.  

Jadi, mereka memutuskan untuk tidak membeli lagi perabot baharu buat masa sekarang. 

"Saya sudah tidak beli lagi perabot, yang banjir hari itu sudah musnahkan banyak perabot dan barangan elektrik.

"Kalau nak beli kena pakai duit juga kan. Jadi tidak mengapalah, saya tunggu musim banjir habis dulu," katanya kepada Astro AWANI. 

Dia juga buntu apabila memikirkan sampai bila banjir kilat ini akan berlaku kerana setiap kali hujan pasti perumahan mereka ditimpa bencana berkenaan. 

Dalam pada itu, seorang penduduk menceritakan, ketika kejadian pada Jumaat, dia berada di pejabat dan paling merisaukannya adalah anaknya yang ketika itu terperangkap di sekolah yang dilanda banjir.

"Banjir berlaku pada Jumaat 3 petang. Ketika itu saya di pejabat, apabila banjir, saya berjaya sampai rumah, dan alihkan barangan.

"Sekolah anak saya di Meru banjir. Ketika itu semua ibu bapa sudah kelam-kabut nak ambil anak. Ramai anak yang terkandas sebab kesesakan.

"Air masa itu sudah di paras lutut, dalam rumah aras atas buku lali. Anak pun tersangkut di sekolah sebab masa itu sekolah pun sudah naik air," ujarnya.

Penduduk bertungkus-lumus membersihkan lumpur dan air yang melimpah masuk ke rumah mereka

Dalam pada itu, Pengerusi Penduduk Taman Daya Maju, Suhaimi Samsudin mendakwa telah banyak kali mengadu masalah perparitan yang tidak sempurna kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Namun, tiada tindakan yang berkesan diambil dan banjir kilat tetap juga berlaku.

"Dalam masa 10 tahun ini, sistem perparitan ini memang agak tidak terurus atau tidak dirancang dengan baik oleh PBT.

"Hasil mesyuarat dengan mereka memang agak mengecewakan. Kita harap pihak-pihak terlibat boleh beri solusi jelas.

"Banyak kilang-kilang baharu dibuka setiap bulan, perparitan tidak diurus dan dirancang dengan sempurna," tambahnya. 

Justeru, penduduk menuntut pihak berwajib agar tidak hanya bertindak apabila kejadian banjir sudah berlaku.