[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Tiga anggota Along Jep didakwa rompak, sembunyi kenderaan curi

Bernama 08/05/2025 | 10:45 MYT
Tiga anggota Geng Along Jep didakwa atas pertuduhan menyembunyikan beberapa kenderaan yang dicuri. - Foto Bernama
KLANG: Tiga anggota Geng Along Jep didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan beberapa kenderaan yang dicuri.

Ringkasan AI
  • Tiga anggota kumpulan jenayah ini didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyembunyikan kenderaan curi, dengan dua daripada mereka menghadapi lebih daripada satu pertuduhan.
  • Salah seorang tertuduh, Tomi Andhika, turut didakwa atas kesalahan merompak, dengan hukuman maksimum 14 tahun penjara dan denda atau sebat jika sabit kesalahan. Kesalahan lain melibatkan penyembunyian harta curi yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
  • Mahkamah membenarkan jaminan antara RM2,500 hingga RM6,000 bagi setiap tertuduh, dengan tarikh pendengaran fakta kes dan hukuman ditetapkan pada bulan Jun.

Tomi Andhika Kosnanto, 25, dan Mohd Haffi Mohamad, 40, masing-masing berdepan dua pertuduhan manakala Muhammad Razahin Zalan, 25, satu pertuduhan.
Tomi Andhika turut dituduh merompak sebuah kereta milik wanita berusia 54 tahun di Teluk Gadong Besar dekat sini pada 19 Mac, selain menyembunyikan harta curi iaitu sebuah motosikal di Taman Raja Uda dekat sini, pada 28 Dis 2024. Lelaki itu mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun serta denda.
Sementara itu seorang lagi anggota Geng Along Jep Mohd Haffi mengaku bersalah atas dua pertuduhan sengaja menyembunyikan harta curi iaitu sebuah kereta di sebuah pangsapuri di Jalan Batu Nilam, dekat sini pada 11 April dan memiliki sebuah rangka kereta pada 23 April tahun ini.
Dia didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda serta Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Muhammad Razahin pula mengaku bersalah atas kesalahan menyembunyikan harta curi iaitu sebuah kereta di Rantau Panjang, di sini pada 19 April yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sulfie Abu Hassan dan Nur Nadia Syuhada Rosli manakala ketiga-tiga mereka diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan James Chan.
Sulfie dan Nur Nadia Syuhada menawarkan jaminan RM1,000 hingga RM7,000, namun James memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain tinggal dengan keluarga serta perlu menjaga orang tua yang uzur.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Wan Muhammad Kushairi Wan Roslei kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM2,500 hingga RM6,000 dan menetapkan 11 dan 23 Jun untuk pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Razahin serta Mohd Haffi.
Wan Muhammad Kushairi turut menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula kes dihadapi Tomi Andhika.
Media sebelum ini melaporkan polis berjaya menumpaskan 'Geng Along Jep' yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan lama dengan penahanan beberapa lelaki tempatan dalam beberapa serbuan di sekitar Klang Selatan antara 10 hingga 30 April.
-- BERNAMA
#geng along jep #menyembunyikan harta curi #curi kereta #Klang