Skip to main content

Malaysia

Tiga bekas PM hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur serentak

Sumber: Astro AWANI
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan pada Khamis apabila tiga bekas Perdana Menteri (dari kiri), Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob menghadiri rosiding undang-undang masing-masing yang berbeza. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan pada Khamis apabila tiga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir bagi prosiding undang-undang masing-masing yang berbeza.

Ketiga-tiga tokoh politik itu hadir ke mahkamah pada hari yang sama ketika kes melibatkan mereka berada pada peringkat prosiding yang berbeza, daripada perbicaraan sivil dan jenayah hinggalah pertuduhan baharu.

Najib dijangka kembali ke Mahkamah Tinggi bagi meneruskan perbicaraan saman sivil berbilion ringgit yang difailkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap beliau serta beberapa defendan lain.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus itu dijangka meneruskan penelitian terhadap transaksi dan keputusan yang menjadi antara isu utama dalam kontroversi membabitkan dana kekayaan negara berkenaan.

1MDB menuntut ganti rugi berbilion ringgit daripada bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan defendan lain berhubung kerugian yang didakwa dialami syarikat berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin akan meneruskan perbicaraan kes membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa.

Presiden BERSATU itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan, selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.

Perbicaraan itu sebelum ini menyaksikan beberapa saksi dipanggil memberi keterangan berhubung projek, pembayaran dan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan program tersebut.

Kes Ahli Parlimen Pagoh itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Noor Ruwena Md Nurdin.

Namun, perhatian turut terarah kepada Ismail Sabri yang dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen.

Bekas Perdana Menteri itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung dakwaan gagal mengisytiharkan aset seperti yang dikehendaki agensi antirasuah.

Kehadiran Ahli Parlimen Bera itu ke mahkamah menyusul penangguhan tarikh pertuduhan sebelum ini selepas beliau mengalami masalah kesihatan.

Ismail Sabri sebelum ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sebelum menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.

Siasatan SPRM terhadap beliau turut mendapat perhatian selepas agensi itu mendedahkan penyitaan kira-kira RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Penyitaan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan membabitkan beberapa bekas pegawai kanan beliau.

Hari ini sekali gus menyaksikan tiga individu yang pernah menerajui pentadbiran negara hadir di bawah satu bumbung institusi kehakiman, namun masing-masing bagi menjawab isu dan pertuduhan yang berbeza.

Must Watch Video

Advertisement