Tiga beranak termasuk bayi rentung dalam kebakaran di Hulu Selangor

Afiezy Azaman
Ogos 19, 2019 00:24 MYT
Tiga orang termasuk seorang bayi dilaporkan maut dalam satu kebakaran rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Hulu Selangor, pagi tadi. - Foto Astro AWANI
Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kebakaran di kediaman mereka di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Hulu Selangor, pagi tadi.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohd Sharidan Abdul Aziz, 30, Siti Rafini Mohd Rafiee, 30, dan anak mereka Rafiq Mohd Sharidan, 1.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.30 pagi, pada Isnin.
"Seramai 21 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Slim River dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, terdapat sebuah rumah berkeluasan 1,200 kaki persegi mengalami kebakaran 70 peratus.
"Mangsa dipercayai sepasang suami isteri berusia lingkungan 30-an dan bayi lelaki mereka... kesemua mereka rentung dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, PGO JBPM Selangor berkata operasi dapat dikawal sepenuhnya dan punca kejadian masih dalam siasatan.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," jelasnya.
#Balai Bomba dan Penyelamat #bayi rentung #JBPM #Kampung Alah Batu #rumah terbakar