Tiga cedera kereta rempuh taska di Kemaman

Bernama
Julai 16, 2023 08:35 MYT
Kejadian berlaku selepas MPV yang dipandu pesara tentera itu hilang kawalan ketika mengundur keluar dari halaman rumahnya yang berhadapan taska tersebut. -Gambar hiasan
CHUKAI: Tiga termasuk seorang guru taska dan dua kanak-kanak cedera ringan selepas bangunan taska dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Taman Sri Cukai, kira-kira 7.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku selepas MPV yang dipandu pesara tentera itu hilang kawalan ketika mengundur keluar dari halaman rumahnya yang berhadapan taska tersebut.
Beliau berkata insiden itu mengakibatkan guru taska tersebut luka di lutut, manakala dua kanak-kanak berusia satu dan tiga tahun cedera di bahagian muka, kepala dan belakang.
"Siasatan awal mendapati pemandu berusia 71 tahun itu hilang kawalan ketika mengundur sehingga melanggar bangunan taska yang terletak kira-kira lima meter dari rumah pesara berkenaan.
"Ketiga-tiga mangsa telah mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kemaman," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#taska dirempuh MPV #Taman Sri Cukai #pesara tentera #Hospital Kemaman