Tiga daerah di Sarawak dilanda banjir kilat, 363 mangsa dipindahkan

Astro Awani
Januari 13, 2021 05:32 MYT
Setakat jam 1 petang ini, seramai 363 mangsa banjir daripada 140 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak. FOTO: APM
KUCHING: Beberapa daerah di Sarawak kini dilanda banjir kilat apabila hujan tanpa henti sejak 24 jam yang lalu.
Antara daerah yang terjejas ialah Kuching, Miri, dan Serian.
Setakat jam 1 petang ini, seramai 363 mangsa banjir daripada 140 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak.
Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri, Henderi Ardimansyah, PPS tersebut ialah empat di Kuching sementara masing-masing satu di Serian dan Miri.
Angka mangsa banjir tertinggi dicatatkan di daerah Kuching, dengan 333 mangsa daripada 132 keluarga dan melibatkan empat buah kampung.
BACA: Kuching dilanda banjir kilat awal pagi
Operasi pemindahan dan penyelamatan mangsa turut dibantu Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan PPS dan khemah yang digunakan selamat serta mematuhi SOP COVID-19.
Terdahulu hujan lebat luar biasa melanda seluruh negeri itu dalam tempoh 24 jam mengakibatkan beberapa kawasan rendah dinaiki air terutama kawasan berhampiran tebingan sungai.
Antara PPS terlibat ialah PPS Dewan Kampung Betong Kenawit, Dewan Serbaguna Kampung Batu 1, Balai Raya Taman Desa Wira dan Dewan Serbaguna Taman Malihah.
#banjir di Sarawak #daerah terjejas banjir di Sarawak #situasi banjir terkini #pemindahan mangsa banjir #jumlah PPS di Sarawak #hujan lebat di Sarawak