Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pengarah syarikat melombong pasir kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

Turut ditahan dalam serbuan pada petang Rabu itu adalah seorang pekerja syarikat pengiklanan yang disyaki telah bersubahat dalam aktiviti terbabit.

Sumber turut mendedahkan individu yang ditahan dipercayai terlibat dengan aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di sebuah lokasi di Kajang sejak tahun 2014.

"Syarikat perlombongan itu disyaki telah merasuah penguatkuasa tempatan agar tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap aktiviti itu yang kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Pasukan penyiasat juga telah memeriksa beberapa lori yang disyaki membawa pasir haram dalam satu operasi yang dilancarkan kira-kira jam 10 pagi tadi (Rabu)," kata sumber kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu.

Hasil siasatan SPRM juga telah membekukan beberapa akaun syarikat bernilai RM4juta.

Kesemua suspek tersebut akan dihadapkan ke mahkamah hari ini (Khamis) untuk direman bagi membantu siasatan.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi Astro AWANI turut mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata operasi itu dilancarkan selepas SPRM mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan kecurian pasir baharu di kawasan sejak beberapa tahun lalu.