Tiga graduan UPM ini lakar sejarah tersendiri
Astro Awani
Oktober 27, 2018 17:08 MYT
Oktober 27, 2018 17:08 MYT
Kejayaan itu pastinya menjadi detik paling manis bagi mereka yang sudah berusaha sedaya upaya dalam setiap sesuatu yang dilakukan.
Dalam ribuan graduan Universiti Putra Malaysia yang menerima diploma dan ijazah mereka sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-42 hari ini, ada beberapa individu yang menyerlah.
Ia bukan semata-mata kerana tahap kelulusan mereka, tetapi kerana mereka telah melakar sejarah peribadi yang mampu menjadi iktibar dan motivasi berguna untuk orang lain.
Apatah lagi sekiranya kejayaan yang dikecapi itu secara simbolik mewakili kejayaan bagi komuniti yang diwakili, ataupun pencapaian berkenaan diraih selepas mengatasi segala kekurangan serta cabaran yang menghambat diri selama ini.
Itulah khabar gembira yang dikongsikan oleh Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM
kepada Astro AWANI, tentang tiga anak muda ini.
Kejayaan Kelvin banggakan etnik Penan
Kejayaan etnik Penan, Sarawak, Kelvin Niyok, 21, meraih Diploma Kejuruteraan Pertanian di Majlis Konvokesyen UPM ke-42 mengangkat dirinya menjadi satu-satunya anak Long Meraan, berdekatan Ulu Baram yang berjaya memasuki universiti.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi contoh buat kaum Penan di kampung saya untuk menyambung pengajian lebih tinggi.
“Keluarga saya orang susah kerana ayah saya, Neyok Baweng bertani sementara ibu Roselind Ali seorang suri rumah. Kewangan kami walaupun tidak mencukupi tetapi saya tidak dapat melupakan bantuan daripada bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Hon Choon Kim sejak saya tingkatan dua,” katanya.
Kelvin yang kini menyambung pengajian peringkat bacelor Kejuruteraan Pertanian di UPM, tidak dapat melupakan pengorbanan ayahnya menghantar dia berjalan kaki kaki selama lima jam dari rumah ke SK Long Seridan semasa tinggal di asrama.
“Semasa di asrama sekolah menengah pula, ayah menghantar saya menaiki pacuan empat roda dan menaiki bot selama lapan jam ke Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, tinggal di asrama,” katanya.
Orang Asli Temuan raih Sarjana Muda Sains Biologi
Seorang anak yatim Orang Asli suku Temuan dari Kampung Orang Asli Ulu Pondoi, Tampin, Negeri Sembilan, Nuraimi Abdullah, 23, berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Major Biologi sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-42.
Beliau yang merupakan seorang saudara baharu telah kehilangan ayahnya, Hee Tai semasa darjah 5. Sejak itu ibunya, Siti Hajar Abdullah, 58, menyara hidup mereka sekeluarga dengan menorah getah.
“Dugaan hebat melanda kami apabila rumah kami terbakar ketika saya melanjutkan pengajian di UPM. Sejak kecil hinggalah ke universiti, saya masih membantu ibu menoreh getah.
“Buat masa ini, saya masih menoreh getah membantu ibu dengan pendapatan RM300 sebulan selain mendapat bantuan juga dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA),” katanya.
OKU raih Sarjana Kejuruteraan Perisian
Meskipun berdepan kesukaran untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat tanpa kaki dan tangan yang sempurna, Suhazli Muhamad, 26, cekal dalam pelajaran sehingga berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Kejuruteraan Perisian.
Suhazli, 26, anak bongsu daripada lapan adik-beradik yang berasal dari Ketereh, Kelantan tidak pernah menjadikan kecacatan fizikalnya sebagai penghalang untuk menuntut ilmu dan berharap kejayaannya akan menyuntik semangat golongan orang kelainan upaya untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.
“Mak dukung saya sejak saya kecil hingga ke sekolah rendah dan tamat SPM. Guru suruh saya pergi sekolah khas, tapi saya tidak mahu sebab ingin terus bersekolah biasa,” ujarnya sebak.
Suhazli berkata dia mula menggunakan kerusi roda semasa tingkatan satu di Ketereh dan mula belajar berdikari semasa menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor.
* Artikel disumbangkan oleh Azman Zakaria dan Khairul Anuar Md Noh dari CoSComm UPM.