SERDANG: Tinggal tiga hari sebelum MAHA 2026 melabuhkan tirainya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang mengunjungi Laman Agrofood MARDI di MAEPS, Serdang, bagi menyaksikan sendiri pelbagai teknologi dan inovasi pertanian yang dibangunkan institut berkenaan.
Dengan MAHA 2026 berlangsung sehingga 6 September, baki tiga hari terakhir dilihat sebagai peluang terbaik khususnya bagi pengunjung yang masih belum berkesempatan meneroka tarikan utama Laman Agrofood MARDI.
Berbanding sekadar mengikuti perkembangan MAHA menerusi gambar dan video di media sosial, pengunjung berpeluang mendapatkan pengalaman secara langsung dengan melihat sendiri teknologi yang selama ini mungkin hanya diketahui melalui paparan digital.
Antara tarikan yang boleh diterokai termasuk teknologi Plant Factory, pameran sayuran dan herba, teknologi penternakan kelulut, AgroClinic, House of Cili serta pelbagai hasil penyelidikan MARDI.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr. Rozeita Laboh, Laman Agrofood menjadi platform penting untuk MARDI mendekatkan hasil penyelidikan dan teknologi pertanian kepada masyarakat.
"Inilah peluang dua tahun sekali untuk kita sama-sama bersama dengan pelanggan dan pengunjung yang hadir untuk mempromosikan hasil daripada penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pengunjung yang hadir bukan sahaja dapat melihat tanaman, malah berpeluang memahami bagaimana teknologi moden digunakan bagi menangani cabaran pengeluaran makanan.
"Menerusi teknologi Plant Factory misalnya, tanaman bernilai tinggi seperti kale dan selada dihasilkan dalam persekitaran terkawal dengan elemen seperti cahaya, suhu, oksigen, karbon dioksida dan pembajaan dikawal bagi mengoptimumkan pertumbuhan tanaman.
"Kita boleh tanam sayuran itu sepanjang tahun tanpa risau akan perubahan cuaca, sama ada hujan ataupun suhu yang berubah-ubah," ujarnya.
Katanya lagi, bagi pengunjung yang mempunyai masalah tanaman pula, Eco AgroCare menyediakan peluang untuk mendapatkan penerangan berkaitan serangan perosak dan penyakit tanaman secara lebih terperinci daripada pakar.
Sementara itu tambahnya, House of Cili menawarkan pengalaman yang lebih santai dan interaktif apabila pengunjung dapat mengenali sejarah serta kepelbagaian cili, termasuk kira-kira 30 jenis cili yang dipamerkan.
Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang mencuba pengalaman menggiling cili, satu aktiviti tradisional yang menurut Dr. Rozeita mendapat sambutan menggalakkan.
"Pengunjung berpeluang untuk cuba menggiling cili, satu pengalaman menggiling cili yang kebanyakan pengunjung sangat suka dan teruja," katanya.
Jelasnya, keistimewaan Laman Agrofood MARDI juga terletak pada peluang untuk pengunjung berinteraksi secara terus dengan pakar dan mendapatkan maklumat berkaitan teknologi serta inovasi pertanian.
Malah katanya, pengunjung turut berpeluang mendapatkan hasil-hasil penyelidikan MARDI yang dipamerkan dan dijual sebagai buah tangan.
"Antaranya termasuk produk serta hasil penyelidikan seperti buah belimbing Bintang Mas, selain inovasi tanaman terbaharu yang diperkenalkan sempena MAHA 2026.
"Dengan hanya tiga hari berbaki, MARDI mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil kesempatan hadir ke Laman Agrofood sebelum MAHA 2026 berakhir.
"Selamat datang, kita mengalu-alukan semua untuk hadir ke pameran kita. Selain mendapat maklumat teknologi dan bantuan, pengunjung juga boleh membeli hasil-hasil ini sebagai buah tangan daripada penganjuran MAHA kali ini," kata Dr. Rozeita.
Justeru ujarnya, tiga hari terakhir MAHA 2026 bukan sekadar peluang untuk berkunjung ke sebuah pameran, tetapi peluang untuk melihat sendiri bagaimana penyelidikan, teknologi dan inovasi MARDI diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar dalam sektor agromakanan negara.
"Jangan hanya tengok MAHA 2026 di media sosial, datang sendiri ke Laman Agrofood MARDI, teroka inovasinya dan rasai pengalaman yang hanya boleh diperoleh secara langsung di sini," katanya.