MALAYSIA
Tiga individu disyaki beri sisa makanan kepada gelandangan dibebaskan dengan jaminan polis

Tiga individu dipercayai terlibat dalam video tular yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan baru-baru ini dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.
SEREMBAN: Tiga individu dipercayai terlibat dalam video tular yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan baru-baru ini dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, remaja lelaki berusia 14, 18 dan 19 tahun itu dibawa dari Johor untuk direman di sini pada Selasa bagi proses rakaman keterangan.
"Mereka didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sekitar daerah ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.MCMC dalam kenyataan memaklumkan, rakaman keterangan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada 5 Ogos selain menyita tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM bagi membantu siasatan.
Menurut MCMC, kandungan video itu dipercayai bersifat jelik melampau dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan netizen selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Kenyataan itu memaklumkan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tinjauan Bernama di platform TikTok mendapati video berdurasi hampir dua minit itu, yang dimuat naik oleh beberapa pemilik akaun memaparkan tiga remaja lelaki dipercayai memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami