MALAYSIA

Tiga individu terlibat ritual puja kuda kepang dipenjara sebulan, denda RM2,000

Sinar Harian 02/09/2025 | 06:16 MYT
Muhammad Suhail (depan) dan Azman (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Syariah Batu Pahat. -Foto Sinar Harian
BATU PAHAT: Tiga individu dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Syariah Batu Pahat pada Selasa selepas mengaku bersalah terbabit dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang pada 10 dan 11 Ogos lalu.


Ringkasan AI
  • Tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan dan dua mekanik dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 kerana terlibat dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang di Parit Raja.
  • Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 berkaitan pemujaan salah dan persubahatannya.
  • Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Batu Pahat selepas kes dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Syazwan Mohd Yusof.


Tertuduh, Muhammad Suhail Suttrysono, 35, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan serta dua mekanik, Azman Mohamer Seh, 45, dan Anuar Bandi, 40, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Syazwan Mohd Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Suhail melakukan upacara bertentangan hukum syarak, manakala Azman dan Anuar didakwa bersubahat dengan memainkan alat muzik bagi tujuan sama.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan lapang hadapan sebuah rumah di Parit Raja antara jam 10 malam hingga 1 pagi pada 10 dan 11 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 iaitu kesalahan berhubung aqidah: pemujaan salah, serta Seksyen 43(b) enakmen sama kerana persubahatannya.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Ummu Salamah Sukayat. -Sinar Harian



#upacara pemujaan #tarian kuda kepang #Parit Raja #Muhammad Suhail Suttrysono #Azman Mohamer Seh #Anuar Bandi