Tiga jam bawa turun mayat pendaki warga emas Puncak Jelapang

Abd Razak Mohd Ali
Mac 20, 2022 23:45 MYT
Anggota bomba antara yang terlibat menjalankan usaha mencari dan menyelamat warga emas yang hilang selepas mendaki Puncak Jelapang, Ipoh pada 11 Mac lalu. - Gambar fail/JBPM Perak
IPOH: Pasukan penyelamat mengambil masa tiga jam untuk membawa turun mayat seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia selepas hilang ketika melakukan aktiviti mendaki di Puncak Jelapang.
Mangsa, Lau Sam, 84 tahun, yang hilang pada 11 Mac lalu, ditemui oleh sekumpulan malim gunung yang membantu operasi mencari dan menyelamat.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba, termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), polis dan malim gunung, mengambil masa tiga jam untuk membawa mayat mangsa turun ke kaki bukit.
“Mangsa dibawa turun dengan menggunakan ‘sked stretcher’ dan diserahkan kepada pihak polis pada jam 3.01 pagi untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pada 11 Mac, mangsa dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama sekumpulan tujuh rakan di Puncak Jelapang di sini.
Difahamkan, kehilangan mangsa disedari ahli kumpulannya sekitar pukul 6 petang setelah didapati tidak tiba di kaki bukit yang kemudian bertindak mendaki semula bagi mencari mangsa.
BACA: Perluas operasi cari pendaki hilang - Bomba
Pihak JBPM Perak menerima panggilan mengenai kehilangan itu pada 1.17 pagi, 12 Mac lalu.
Pihak bomba bersama-sama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kemudiannya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk menggunakan khidmat Unit Pengesan (K9).
Pihak keluarga pula turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang dapat menjumpai mangsa.
#warga emas #bawa turun mayat #Puncak Jelapang #hilang selepas mendaki