Tiga jam derita tahan sakit kaki tertusuk besi

Noraniza Kamsani
Oktober 19, 2018 10:46 MYT
Keadaan kaki mangsa yang tertusuk besi, sebelum proses pemotongan dilakukan. - JBPM
Seorang murid lelaki berusia 8 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih tiga jam apabila tapak kaki kanannya tertusuk besi di sini semalam.
Dalam kejadian itu jam 12 tengah hari itu, kaki Muhammad Nurhan Haziq Mohd Zaidi dikatakan terpijak besi ketika sedang melakukan aktiviti luar bilik darjah di sebuah sekolah rendah di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Sani Harun berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada Hospital Raub kira-kira jam 3.25 petang.
"Kita diminta oleh pihak hospital untuk membantu memotong besi berkenaan. Anggota bomba tiba lima minit kemudian bagi membantu pihak hospital memotong besi itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Sani berkata, bomba terpaksa menggunakan alat portable ring cutter bagi membolehkan besi yang tertusuk di tapak kaki murid berkenaan dipotong dengan selamat.
"Kita mengambil masa kira-kira lima minit melakukan kerja pemotongan besi itu di wad kecemasan sebelum mangsa diserahkan kepada pihak hospital bagi menjalani pembedahan," katanya.
#bomba #hospital raub #kaki tertusuk besi #Kanak-kanak #mangsa #rawatan