Tiga keluarga di Kampung Belukar, Pulai Chondong dekat sini terpaksa bergelut dengan banjir dan dipindahkan ke kawasan selamat apabila rumah mereka dinaiki air setinggi kira-kira tiga meter sejak Rabu lepas.

Kampung mereka dinaiki air setelah paras air Sungai Bagan dan Sungai Kelantan melimpah, akibat hujan tanpa berhenti sejak Ahad lalu.

Seorang mangsa banjir Kampung Belukar, Rahmah Daud, 53, yang ditemui Bernama berkata beliau sekeluarga terpaksa berpindah ke surau berhampiran apabila rumah mereka mula dinaiki air pada 8 malam, Rabu.

"Alhamdulillah kami sekeluarga menyedari awal, air mula masuk ke rumah dan menyelamatkan dokumen penting dan beberapa barang berharga," katanya kepada Bernama ketika ditemui di surau berkenaan.

Suri rumah itu berkata beliau menghadapi kesukaran menguruskan anak-anak dan barang ketika berpindah ke surau, lebih-lebih lagi dalam keadaan anak perempuannya Norshazwani Rosli, 12, mengalami demam.

Seorang lagi suri rumah, Nur Daud, 48, turut mengeluh kerana keluarganya terpaksa menghadapi kesukaran banjir setiap tahun dan kali ini keadaannya lebih teruk berbanding tahun lepas.

Bagaimanapun beliau sekeluarga bersyukur penderitaan mereka terus mendapat perhatian baik daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Mangsa banjir di kampung berdekatan, Kampung Titian Tok Ali, Abu Razak Ismail pula berkata beliau risau akan berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan apabila tidak dapat ke bandar berdekatan kerana Jalan Kemubu, yang menghubungi kampung itu telah ditenggelami air sejak Rabu.

Keadaan itu turut menyebabkan beberapa kampung lain iaitu Kampung Belukar, Kampung Lepang Kandis, Kampung Chekok turut terputus hubungan.

Sehingga 9 malam tadi, keadaan banjir di kampung berkenaan mulai surut dan mangsa banjir bercadang pulang menjenguk rumah masing-masing pagi ini.