Tiga kenderaan langgar kerbau di LPT2

Bernama
Disember 25, 2019 21:55 MYT
Keadaan Toyota Corolla Altis yang terbalik selepas terbabas akibat melanggar kerbau di LPT2 pada Rabu. Foto Sinar Harian/Ihsan IPD Hulu Terengganu
Tiga pemandu menempuhi detik cemas apabila kereta yang dipandu mereka merempuh seekor kerbau di Kilometer 422.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Ajil - Kuala Terengganu, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku pada pukul 6.30 pagi apabila sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 28 tahun menghala arah Kuala Terengganu melanggar seekor kerbau yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar penghadang besi di bahu jalan.
Kemudiannya sebuah Toyota Corolla Altis yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Jerantut, Pahang menghala ke Jeram Hilir, Kuala Terengganu turut melanggar bangkai kerbau itu sehingga menyebabkan keretanya terbabas dan terbalik, katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.
Katanya, sebuah MPV Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki 33 tahun pula yang dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menghala ke Bachok, Kelantan, turut mengalami situasi yang sama apabila tidak sempat mengelak, lalu melanggar bangkai kerbau itu.
Adli berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi dan Toyota Altis mengalami kecederaan ringan manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
-- BERNAMA
#Adli Mat Daud #ajil #Hulu Terengganu #kemalangan #kerbau #kereta terbabas #kereta terbalik #Kuala Terengganu #LPT2 #tiga kereta #tiga pemandu