Tiga kertas siasatan terhadap Tun M dibuka

Bernama
Oktober 22, 2015 08:10 MYT
AHMAD ZAHID: Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk ulasan dan arahan lanjut setelah siasatan selesai dijalankan. - Gambar Fail
Polis telah membuka tiga kertas siasatan berhubung aduan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada tiga kertas siasatan tersebut, dua daripadanya melibatkan siasatan yang sedang dijalankan manakala satu lagi kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.
"Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap aduan yang dibuat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu berkaitan Klang Report 33074/14 dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk ulasan dan arahan lanjut setelah siasatan selesai dijalankan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang meminta Timbalan Perdana Menteri menyatakan hasil siasatan dan tindakan yang diambil ke atas Dr Mahathir.
Menurut Ahmad Zahid, satu lagi kertas siasatan berkaitan Jinjang Report dan ia telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 9 Okt lepas untuk arahan selanjutnya.
"Pihak polis juga menjalankan siasatan berkait Jinjang Report 18448/2015 dan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi #Dr Mahathir Mohamad #Klang Report 33074/14 #Seksyen 500 Kanun Keseksaan