NATIONAL
Tiga kes anak gajah mati direkodkan tahun ini - Perhilitan

Kes anak gajah mati dilanggar lori di Gerik pada Ahad mengundang sebak dalam kalangan orang ramai apabila ibunya dilihat seakan-akan meratapi kematian anaknya itu. (Gambar kecil: Abdul Kadir)
KUALA LUMPUR: Kematian seekor anak gajah jantan yang dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik merupakan kes ketiga nahas jalan raya (road kill) bagi spesies itu tahun ini.
Ringkasan AI
- Kematian anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli merupakan kes ketiga nahas jalan raya bagi spesies itu tahun ini, melibatkan dua kes di Perak dan satu di Johor.
- Pembukaan habitat hidupan liar untuk pembangunan menyebabkan pemisahan habitat asal, menjadi punca utama haiwan liar menjadi mangsa nahas jalan raya.
- Inisiatif Perhilitan termasuk pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar, lampu solar amber light, pemindahan hidupan liar, serta rondaan dan penguatkuasaan untuk menangani isu pemburuan haram dan pencerobohan hutan.
"Pembukaan habitat hidupan liar bagi tujuan pembangunan menyebabkan habitat asal terpisah antara punca utama haiwan liar menjadi mangsa nahas jalan raya.
"Hidupan liar yang melintas jalan atau lebuh raya bergerak untuk mencari sumber makanan, pasangan bagi terus membiak dan mencari habitat yang lebih sesuai, namun akibat kecuaian pemandu kenderaan telah mengakibatkan kemalangan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, perkembangan guna tanah untuk pelbagai tujuan telah menyebabkan berlakunya kehilangan, fragmentasi habitat hidupan liar dan seterusnya memberi kesan kepada berlakunya pemisahan habitat.
"Inisiatif Perhilitan untuk tangani isu itu adalah dengan pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar, memasang lampu solar amber light dan pemindahan hidupan liar ke habitat yang lebih jauh daripada manusia.
"Perhilitan juga mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi menangani isu pemburuan haram dan pencerobohan hutan habitat asal gajah dan harimau belang khususnya," katanya.
Di samping itu, Abdul Kadir berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib bagi memastikan pagar sempadan sepanjang lebuh raya diselenggara dengan baik dan pemasangan pagar berduri di kawasan titik panas.
"Kita nasihatkan pengguna jalan raya mematuhi had kelajuan yang ditetapkan.
"Sentiasa peka terhadap papan tanda lintasan hidupan liar selain memperlahankan kenderaan di kawasan terbabit," katanya.
Tegasnya, usah membuat provokasi seperti membunyikan hon atau memberi lampu tinggi kepada binatang liar yang melintas.
Justeru, Perhilitan mengharapkan kerjasama semua pihak untuk melaporkan sebarang kemalangan jalan raya membabitkan binatang liar di talian 1-800-88-5151 atau portal e-aduan www.wildlife.gov.my. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami