Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil seorang bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan dua orang bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhubung prestasi kewangan agensi tersebut yang teruk antara tahun 2009-2012.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan memanggil KSU KKMM pada tahun 2009-2013, Datuk Kamaruddin Siaraf dan dua bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Mahyidin Mustakim (2006-2011) dan Mohd Naguib Razak (2011-2012) bagi menjawab perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Nur Jazlan berkata akaun Finas telah ditolak oleh Laporan Ketua Audit Negara pada 2012 kerana terlalu banyak perbelanjaan yang tidak dapat disahkan.

"Kegagalan yang telah dikenal pasti dalam laporan ketua audit negara yang berlaku dalam Finas adalah dari segi kelemahan pengawalan pengurusan, kelemahan kawalan bajet, kelemahan kawalan terimaan, kelemahan kawalan perbelanjaan, kelemahan pengurusan akaun amanah, kelemahan pengurusan aset dan inventori yang saya rasa merangkumi lebih kurang kesemua operasi Finas tersebut," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan parlimen hari ini.

Finas mendapat peruntukan kira-kira RM40 juta dari Kementerian Kewangan setiap tahun.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan tentang peruntukan untuk dokumentari yang diberikan kepada Finas tetapi sehingga kini dokumentari tersebut tidak disiarkan.

Semakan Audit mendapati laporan dan pengesahan kemajuan kerja tidak disediakan oleh Finas sebagai dokumen sokongan bagi pembayaran berjumlah RM2.01 juta yang melibatkan 25 judul dokumentari.

Semakan Audit juga mendapati Finas tidak menyediakan garis panduan terperinci berkaitan prosedur pembayaran bagi kerja penerbitan yang telah dilaksanakan oleh syarikat produksi.

Pembayaran ini tidak mengikut perjanjian yang ditetapkan dan Finas juga tidak dapat memastikan kedudukan sebenar kemajuan penerbitan.

Nur Jazlan menambah mekanisme di dalam KKMM dan Finas itu sendiri sepatutnya dapat menghidu dan mengenalpasti masalah yang dihadapi agensi berkenaan.

Beliau berkata agensi yang mendapat autonomi dari segi perbelanjaan itu turut mempunyai seorang pegawai Kementerian Kewangan di dalam lembaga pengarah dan bertindak sebagai pengerusi audit Finas.

Ketua pengarah Finas yang dilantik dari sektor swasta turut sepatutnya menjadikan pengurusan agensi itu lebih baik.

"Saya rasa ini juga kerajaan perlu review semula lah dasar untuk nak melantik bakat-bakat luar ni. kalau nak lantik bakat luar ni boleh lantik lah orang yang betul-betul boleh buat, jangan lantik kerana sebab-sebab lain," katanya.