KOTA KINABALU: Tiga lagi daerah di Sabah iaitu Sipitang, Sook dan Beaufort mula dilanda banjir pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) diaktifkan di daerah terbabit.
Advertisement
Menurut kenyataan itu, dua PPS dibuka di Sipitang iaitu di Dewan Mini Mesapol dan Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah diikuti satu di Sook iaitu di Dewan SLDB Dalit Gana, manakala di Beaufort pula PPK Selagon dibuka untuk menempatkan penduduk terjejas.
"Pemindahan penduduk yang terjejas ke PPS dan PPK masih dilakukan pada pagi ini," menurut kenyataan itu.
Sipitang dan Beaufort adalah daerah di pantai barat Sabah terletak arah Barat Daya dari Kota Kinabalu, manakala Sook merupakan daerah di pedalaman Sabah.
Sementara itu, situasi banjir di Pitas tidak berubah dengan 1,695 orang daripada 861 keluarga masih berlindung di lima PPS setakat pagi ini.
-- BERNAMA