Tiga sekawan terlepas dari tali gantung apabila mereka dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari ini daripada tuduhan membunuh seorang pemilik kedai perabot, empat tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membebaskan Tee Chih Wei, 29, Izwan Mohamad, 30, dan Mohd Kasful Anuar Ghazali, 29, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Tertuduh pertama, Tee seorang bekas mekanik dan Izwan Mohammad serta Mohd Kasful masing-masing bekas pemandu dan kelindan lori sebelum ini dituduh dengan niat bersama membunuh Ong Chee Leong, 58, di Foong Soon Furniture Trading, Jalan Tupai, Taiping pada 10.45 pagi, 8 Julai 2012.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Hayatul Akmal dalam keputusannya berkata, tertuduh pertama dikatakan hanya mahu menggertak serta memberi amaran kepada Ong kerana dikatakan sering memukul isteri serta anak tirinya yang merupakan teman wanita Tee.

Sehubungan itu, Tee meminta bantuan seorang rakan untuk mencari orang bagi menggertak mangsa sebelum diperkenalkan dengan tertuduh kedua iaitu Izwan Mohammad yang kemudiannya mengajak tertuduh ketiga, Mohd Kasful.

Bagaimanapun, sebelum mereka sempat menggertak serta memberi amaran kepada mangsa pada hari kejadian, Tee telah diberitahu mangsa telah meninggal dunia akibat dibunuh.

Menurut Hakim, sepanjang perbicaraan keterangan daripada ketiga-tiga tertuduh adalah konsisten, malah saksi pendakwaan juga setuju mereka hanya ingin mengertak mangsa dan bukannya membunuh.

Hayatul Akmal juga berkata tiada saksi yang melihat ketiga-tiga tertuduh di lokasi kejadian dan pihak pendakwaan tidak menyoal balas tujuan mengertak mangsa.

Sebanyak 26 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Harris Ong Jeffry Ong.

Manakala Tee diwakili Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Mohd Ruzaimi Zulkifli.

Sementara itu, Izwan diwakili peguam V. Santhiran, manakala Mohd Kasfuldiwakili Ranjit Singh Sandhu.