IPOH: Tiga lelaki nekad terjun dari tingkat tiga dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Simee di sini, petang semalam.

Tindakan itu membawa padah apabila ketiga-ketiganya mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, serbuan pukul 4.15 petang semalam itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan polis juga menahan 11 individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan berkumpul di dalam premis itu untuk bermain judi.

"Apabila pemeriksaan dilakukan seramai 11 lelaki berkumpul dalam premis berkenaan untuk bermain judi jenis Gin Rummy batu.

"Oleh kerana terkejut dengan kehadiran pihak polis, tiga daripada yang ditangkap terjun daripada premis itu sehingga mengakibatkan seorang mengalami kecederaan patah pergelangan tangan, bahu dan pinggang, seorang patah kedua-dua belah kaki dan seorang lagi patah tulang rusuk dan tangan kiri," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kesemua yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

A Asmadi berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas meja Gin Rummy, 114 biji Gin Rummy batu, dua biji dadu, 119 token, lima kerusi sandar dan dua kerusi plastik.

Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia 41 sehingga 66 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

"Kesemua mereka ini menetap di Ipoh dan dibebaskan dengan jaminan polis sehingga laporan pakar judi diperolehi.

"Tangkapan juga dikenakan kompaun RM10,000 bagi setiap individu dan seorang daripada tangkapan iaitu pemilik premis di kompaun RM25,000 kerana tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia," ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) ARJT 1953 iaitu berjudi dalam premis dan boleh dihukum denda RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berasingan, A Asmadi berkata, setakat ini sebanyak 369 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh PKPD membabitkan 333 individu, 21 premis dan 15 sekatan jalan raya (SJR).

Katanya, kes jenayah pula menurun sebanyak 24 peratus bagi perbandingan dua minggu sebelum PKPD dilaksanakan.

"Jenayah kekerasan menurun tiga kes, harta benda (8 kes) dan kebanyakan kes yang menurun adalah kes jenayah curi kenderaan dan kes gaduh.

Ujarnya lagi, kes jenayah seksual dan keganasan rumah tangga juga menurun sebanyak lima kes.