NATIONAL
Tiga lelaki dipenjara seumur hidup edar 32kg dadah
Tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu Methampetamine seberat 32,682.4 gram (32kg) di tempat parkir kereta di sebuah kondominium di Jalan Desa Pandan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan ke atas tiga lelaki, selepas didapati bersalah kerana mengedar dadah seberat 32 kilogram (kg), enam tahun lepas.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap tiga lelaki atas kesalahan mengedar dadah Methampetamine seberat 32kg pada 2019.
- Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tertuduh, yang didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Salah seorang tertuduh, S. Uvaraja, turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas kesalahan memiliki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine, heroin, dan Monoacetylmorphines.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap penarik kereta S. Uvaraja, 48, R. Kalaikumar, 40, dan pemandu lori K. Paarthiban, 38, di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019," kata Hakim Azhar.
Tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu Methampetamine seberat 32,682.4 gram (32kg) di tempat parkir kereta di sebuah kondominium di Jalan Desa Pandan di sini, pada 5.35 petang, 18 Jun 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Hakim Azhar turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Uvaraja, kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki 0.15 gram (g) dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine dan 0.003g heroin serta 0.007g Monoacetylmorphines, di lokasi dan tarikh yang sama.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
-- BERNAMA
#hukuman penjara seumur hidup
#gagal menimbulkan keraguan munasabah
#mengedar dadah
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur