NATIONAL
Tiga lelaki disyaki terlibat kes samun diberkas
Tiga lelaki disyaki melakukan samun di Felda Jengka 8, Maran ditahan dalam tempoh kurang daripada 15 jam selepas kejadian. -Gambar hiasan/Adobe Stock Image
KUANTAN: Tiga lelaki yang disyaki melakukan kegiatan samun di sebuah rumah di Felda Jengka 8, Maran ditahan semalam.
Ringkasan AI
- Tiga lelaki disyaki melakukan samun di Felda Jengka 8, Maran ditahan dalam tempoh kurang daripada 15 jam selepas kejadian.
- Mangsa diikat dan suspek melarikan kenderaan, wang tunai, dan barang kemas dengan kerugian RM16,000.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata tangkapan pertama melibatkan dua suspek berusia 29 dan 51 tahun, telah dibuat di Jerantut pada 12 tengah hari manakala seorang lagi lelaki berumur 30 tahun diberkas di Maran pada 2.15 petang.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam Jumaat lepas, mangsa lelaki berusia 34 tahun dikejutkan dengan kehadiran suspek yang berada di bahagian dapur rumahnya dengan seorang daripada mereka memegang pisau.
"Mangsa kemudian telah diikat menggunakan tali nylon dan tali pinggang sebelum suspek bertindak melarikan sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX, wang tunai dan barang kemas dengan anggaran kerugian sebanyak RM16,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong berkata mangsa berjaya melepaskan ikatan pada tangan dan kaki sebelum keluar rumah meminta bantuan orang kampung.
"Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu telah ditahan dalam tempoh kurang daripada 15 jam selepas kejadian dilaporkan," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA