Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Tiga lelaki ditahan kerana dadah di Mukah

Bernama 20/11/2025 | 15:00 MYT
Muhamad Rizal berkata lelaki terbabit didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta direman empat hari. - Gambar fail/Bernama
MUKAH: Polis menahan tiga lelaki dalam siri serbuan Op Tapis Khas di sekitar Mukah semalam dalam usaha drastik berterusan membasmi aktiviti penyalahgunaan dadah.


Ringkasan AI
  • Polis menahan tiga lelaki dalam siri serbuan Op Tapis Khas di Mukah berikutan penemuan dadah seperti methamphetamine dan amphetamine.
  • Seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun ditahan dengan dadah seberat 1.14 gram bernilai RM200 di depan hotel bajet.
  • Dua lelaki tempatan berusia 26 tahun dan 34 tahun turut ditahan dengan dadah methamphetamine di lokasi yang berbeza, satu didapati positif dadah manakala yang lain negatif.


Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun di hadapan sebuah hotel bajet di Jalan Boulevard Setiaraja kira-kira 1 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan menemukan satu keratan tiub straw lut sinar dan satu peket plastik berisi ketulan kristal dipercayai dadah methamphetamine seberat 1.14 gram bernilai kira-kira RM200," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang bekerja sebagai buruh itu didapati positif terhadap methamphetamine serta amphetamine dan dia direman hingga Isnin ini bagi siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam tangkapan kedua, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun diberkas di Simpang Tiga Jalan Ladang Sawit, Jalan Mukah-Selangau kira-kira 12.50 tengah hari.

"Pemeriksaan menjumpai satu keratan tiub lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai methamphetamine seberat 0.30 gram dianggar bernilai RM150," katanya.

Muhamad Rizal berkata lelaki terbabit didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta direman empat hari.

Beliau berkata seorang lagi lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan di lokasi sama 10 minit kemudian dan polis merampas 0.11 gram methamphetamine bernilai RM110 daripadanya.

Lelaki terbabit bagaimanapun negatif dadah dan kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

#hotel bajet #warga asing #Dadah #ketulan kristal