[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Tiga lelaki ditahan selepas dikejar lima kereta peronda

Bernama 19/09/2025 | 12:05 MYT
Cubaan tiga lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan unit peronda polis gagal selepas dikejar lima kereta peronda dalam kejadian di sekitar Klang , malam tadi. - Foto hiasan/X/@bernamadotcom
SHAH ALAM: Cubaan tiga lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan unit peronda polis gagal selepas dikejar lima kereta peronda dalam kejadian di sekitar Klang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Ramli Kasa berkata suspek warga tempatan berusia antara 31 hingga 43 tahun berjaya ditahan di Bandar Sentosa, Klang.

"Polis mengesan kereta dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di kawasan bulatan Jalan Kebun, Klang pada 11.15 malam, namun pemandu kenderaan telah memecut apabila diarahkan berhenti.

"Selepas berjaya ditahan, pemeriksaan menemukan sebilah parang panjang dan sepasang sarung tangan dalam kereta terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan pemandu kereta memiliki 23 rekod jenayah dan 11 dadah.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


#kereta peronda #tiga lelaki ditahan #Klang #Polis Daerah Klang Selatan