MALAYSIA

Tiga lemas: Lesen pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian masih digantung

Bernama 01/07/2025 | 09:00 MYT
Pemandu bot yang terbabit dalam tragedi itu direman selama tiga hari bermula semalam. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Lesen jurumudi bot penumpang yang terbalik sehingga meragut tiga nyawa di Pulau Perhentian, Sabtu lepas digantung sehingga siasatan pihak berkuasa termasuk berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah selesai.

Ringkasan AI
  • Lesen jurumudi bot yang terlibat dalam tragedi di Pulau Perhentian digantung dan bot dibatalkan lesen kerana kerosakan teruk serta pelanggaran undang-undang seperti operasi waktu malam dan lebihan penumpang.
  • Siasatan dijalankan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan jurumudi direman selepas didapati positif dadah, manakala semua penumpang tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian.
  • Tragedi berlaku ketika perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Besar, mengorbankan tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak, akibat bot terbalik dilanda ombak besar.

Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur Mohamad Halizam Samsuri berkata lesen bot penumpang itu juga dibatalkan kerana mengalami kerosakan teruk dengan sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat punca tragedi berkenaan mengikut Seksyen 334 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Jika didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan lebih tegas akan diambil termasuk pembatalan lesen secara kekal," katanya ketika ditemui di Pejabat JLM Terengganu di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun lesen bot berkenaan sah hingga Mac 2026, namun terdapat beberapa pelanggaran undang-undang yang jelas seperti beroperasi pada waktu malam dan membawa lebih penumpang.
"Bot jenis kecil dengan panjang 7.9 meter hanya dibenarkan membawa dua kru dan maksimum 10 penumpang. Daripada kenyataan polis, kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan dan jurumudi sepatutnya bertegas memastikan semua penumpang mematuhi peraturan demi keselamatan," katanya.
Sementara itu Mohamad Halizam berkata pemandu bot dan penumpang diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan mengikut syarat lesen.
Beliau berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan bot penumpang secara berkala dan bersepadu melibatkan agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Semua pemandu bot perlu menjalani ujian ketat sebelum diberi lesen. Begitu juga bot yang dilesenkan, perlu diperiksa dan mempunyai peralatan keselamatan yang cukup untuk penumpang," katanya.
Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, S. Arumugam, 40, dan anaknya A. Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V. Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal, selain 10 lagi terselamat.
Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.
Pemandu bot yang terbabit dalam tragedi itu kemudian direman selama tiga hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan lelaki berkenaan didapati positif dadah.
-- BERNAMA
#kes lemas #Pulau Perhentian #bot terbalik #pemandu bot