BUKIT MERTAJAM: Tiga mangsa kemalangan di Jalan Genting Highlands, dijangka disemadikan di tiga lokasi berasingan Ahad ini.

Menurut ahli keluarga mangsa, jasad mendiang Wong Ah Moi @ Wong Seh Moi, 83, akan disemadikan di tanah perkuburan Gereja Sungai Lembu sementara jasad mendiang Lee Moy, 67, disemadikan di tanah perkuburan Machang Bubuk.

Jasad seorang lagi mangsa iaitu mendiang Ang Meng Hong, 62, pula akan disemadikan di Kulim, Kedah.

Ketiga-tiga jasad mangsa yang mempunyai talian persaudaraan sebelum itu tiba di kediaman mereka di
Machang Bubok, di sini, sekitar pukul 4.30 pagi Jumaat.

Ketika ini, ramai ahli keluarga dan sahabat handai datang memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Sementara itu, anak mendiang Wong Ah Moi, Lim Nyoh Cin tidak menyangka  percutian ke  Genting Highlands kali ini merupakan percutian terakhir ibunya.

Menurut Nyoh Cin, ibu serta ibu saudaranya itu bercuti di destinasi pelancongan popular itu sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, empat lagi mangsa yang turut maut dalam kejadian itu merupakan rakan dan kenalan rapat mendiang ibunya.

Nyoh Cin berkata, pemergian ibunya amat sukar untuk diterima kerana mendiang merupakan seorang yang sangat sihat dan aktif walaupun berusia 83 tahun.

“Dia tidak ada pesan apa-apa sebelum pergi… kami ahli keluarga rasa sangat sedih dengan kejadian ini. Dia sangat gembira ketika mahu pergi bercuti,” katanya mengenang detik-detik terakhir bersama ibu tercinta.

Sementara itu, Wong Yun Wen pula berkata, akibat kemalangan itu, ibunya mengalami kecederaan pada jantung sehingga meragut nyawanya.

“Kecederaan agak teruk juga sebab terkena pada bahagian jantung. Sebelum bertolak balik ke rumah, dia ada ada menghantar mesej kepada saya memaklumkan akan bergerak balik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Machang Bubuk, hari ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, van persiaran yang membawa 14 individu dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di KM 4.8 Jalan Genting Highlands pada pukul 1.15 tengah hari.

Tujuh penumpang maut dalam kejadian itu manakala tujuh lagi mangsa cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.