Skip to main content

Malaysia

Tiga mangsa kepala air di Sungai Sedim dihanyutkan sejauh satu kilometer

Kepala air sungai sedim_JBPM Perak
Tiga mangsa lemas dalam kejadian fenomena kepala air di Sungai Sedim petang Jumaat. Mereka ialah Nur Atikah Abdullah, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain dan Muhammad Aari Daniel Md Radzi. - Foto JBPM Perak
Advertisement

KULIM: Tiga mangsa lemas dalam kejadian fenomena kepala air di Sungai Sedim di sini petang semalam dihanyutkan sejauh satu kilometer sebelum mayat mereka ditemukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata kesemua mangsa sebelum itu dipercayai berkelah dan mandi di kawasan Tree Top Walk di kaki Gunung Bintang.

Beliau berkata kejadian kepala air kemudian berlaku tanpa disedari dan menyebabkan mangsa yang terlibat dihanyutkan arus deras sebelum lemas.

“Mangsa pertama, iaitu kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai berkelah.

“Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan mangsa ketiga, iaitu wanita berusia 28 tahun ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa pertama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohammad Haiqal Izwan berkata ketiga-tiga mangsa dibawa ke tebing sungai oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika melakukan sebarang aktiviti di kawasan sungai serta peka terhadap keadaan cuaca.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sedim Abd Padhil Ghani, 64, berkata lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pengunjung untuk berkelah dan mandi-manda, terutama pada hujung minggu.

“Saya terkejut apabila tahu ada kejadian kepala air dan ada mangsa terlibat. Seorang kawan saya melihat seorang daripada mangsa dalam keadaan terapung di sungai tetapi dia tidak dapat menyelamatkannya kerana arus deras,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa iaitu seorang wanita, Nur Atikah Abdullah, 28, serta dua kanak-kanak, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, dan Muhammad Aari Daniel Md Radzi, 3, ditemukan lemas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement