MALAYSIA

Tiga mangsa sampan karam di Sungai Krian ditemukan lemas

Bernama 28/09/2025 | 09:15 MYT
Ketiga-tiga baki mangsa yang hilang dalam insiden sampan karam di Sungai Krian, Saratok ditemukan lemas. - Gambar/ JBPM
BETONG: Kesemua baki tiga mangsa yang hilang dalam insiden sampan karam di Sungai Krian berhampiran dengan Feri Kaba, Saratok pada Jumaat lepas, ditemukan meninggal dunia pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.


Ringkasan AI
  • Ketiga-tiga baki mangsa yang hilang dalam insiden sampan karam di Sungai Krian, Saratok ditemukan meninggal dunia pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat, menjadikan jumlah korban seramai empat orang.
  • Operasi melibatkan JBPM Saratok, Unit Anjing K9, PDRM, APM dan penduduk kampung dengan penggunaan bot dan kekuatan anggota pelbagai agensi, dimulakan jam 8 pagi dan ditamatkan pada 11.10 pagi selepas kesemua mangsa ditemukan.
  • Kejadian berlaku ketika 10 pekerja pembinaan menyeberangi sungai dari Jeti Sessang ke Jeti Pusa; enam warga Indonesia berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi hilang, termasuk seorang yang ditemukan sehari sebelumnya.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata operasi hari ini bermula pada 8 pagi dengan penglibatan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bersama dengan Unit Anjing K9 JBPM negeri serta agensi keselamatan lain.

"Kira-kira pukul 10.10 pagi, mangsa kedua dijumpai oleh penduduk kampung, sebelum pasukan SAR menemukan dua lagi mangsa pada 10.15 pagi dan 10.45 pagi.

"Kesemua mangsa telah dikenal pasti. Dengan penemuan ini, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.10 pagi selepas perbincangan bersama dengan semua agensi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada 5.30 petang, Jumaat, sampan yang membawa 10 pekerja pembinaan karam ketika menyeberangi sungai dari Jeti Sessang menuju ke Jeti Pusa.

Enam mangsa yang merupakan warga Indonesia berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi hilang. Seorang daripada empat mangsa lelaki yang hilang itu telah dijumpai semalam.

Operasi SAR disertai tujuh anggota BBP Saratok bersama-sama satu pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat, dibantu Unit K9 JBPM dengan kekuatan dua pegawai dan seekor anjing pengesan.

Agensi lain yang turut membantu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Saratok, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Saratok dan penduduk kampung yang mengerahkan sembilan bot dengan 36 orang.

-- BERNAMA



#kes lemas #Sungai Krian #Saratok #sampan terbalik