Tiga maut dilanggar komuter ketika ceroboh landasan KTMB

Azib Zikry
Mac 4, 2024 00:40 MYT
Pihak JBPM Selangor dimaklumkan mengenai insiden pada jam 10.53 malam dan menggerakkan pasukan daripada BBP Kajang seramai lima orang ke lokasi kejadian. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang dipercayai menceroboh masuk ke kawasan landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) dilanggar komuter dalam kejadian di Taman Puncak Utama, Jade Hills, Kajang, malam tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK I Salleh Bahran, ketiga-tiga mangsa merupakan warga Bangladesh berusia antara 30-an dan 40-an.
"Semua mayat berada dalam keadaan sempurna. Ini kerana, kesemua mangsa tercampak ke sisi rail keretapi dan tidak digilis oleh komuter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dimaklumkan mengenai insiden itu pada jam 10.53 malam.
"Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang seramai lima orang telah bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT sejurus menerima panggilan.
"Operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," kata Salleh.
Tambahnya, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
#landasan kereta api #warga Bangladesh maut #maut dilanggar komuter #bomba Kajang