Tiga maut, seorang parah, motosikal rempuh belakang treler

Adie Sufian Zulkefli
April 11, 2023 23:25 MYT
Dalam nahas jalan raya di Jalan Tanjung Musang, Alor Setar malam tadi, tiga penunggang motosikal maut di lokasi kejadian sementara seorang parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan empat buah motosikal yang merempuh belakang sebuah treler di jalan Tanjung Musang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian jam 10.50 malam itu melibatkan empat motosikal yang sedang dalam perjalanan dari arah Alor Setar menuju ke Jabi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang baru selesai mengisi minyak, telah masuk ke laluan utama pada jarak lebih kurang 40 meter dari simpang keluar stesen minyak.
"Tiba-tiba, datang empat buah motosikal lalu merempuh bahagian belakang treler itu.
“Akibat rempuhan tersebut, tiga penunggang motosikal maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Shukri berkata, mayat ketiga-tiga mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Mangsa yang parah dibawa ke Unit Kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.
Katanya, identiti semua mangsa belum diperolehi dan polis masih menjalankan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Alor Setar #penunggang motosikal maut #penunggang motosikal #motosikal rempuh treler