Sebutir buah tamar yang menghalang pintu tren untuk tertutup rapat boleh menjejaskan keseluruhan operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), sekali gus mengganggu pergerakan jemaah yang menggunakan perkhidmatan itu.

Itulah antara gambaran insiden atau krisis yang mungkin boleh berlaku dan Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), selaku pengendali tren itu perlu bertindak pantas untuk menyelesaikan sebarang krisis bagi mengelakkan ia menjadi lebih rumit.

Pengurus Pusat Kawalan Operasi (OCC) MMMSL, Mohd Affendi Ridzuan berkata sekiranya insiden seumpama itu berlaku, kakitangan syarikat pengendali hanya diberikan tempoh tiga minit bagi mengesan punca dan menyelesaikan masalah berkenaan.

"OCC berperanan penting dalam pengoperasian tren metro secara yang bergerak secara automatik seperti MMMSL dan ia juga adalah nadi penting yang mengawal dan mengawasi pergerakan tren, pemantauan di dalam tren dan di stesen.

"Jika sesuatu insiden berlaku, contohnya buah tamar yang menghalang pintu tren untuk tertutup rapat, kakitangan kita di lapangan diberikan tiga minit untuk menyelesaikannya, jika tidak masalah sekecil itu akan merebak dan menjejaskan keseluruhan perkhidmatan tren," katanya kepada media Malaysia yang berkunjung ke pusat kawalan itu di sini pada Sabtu.

Mohd Affendi berkata tempoh tiga minit itu yang turut dijadikan piawaian bagi pengoperasian perkhidmatan tren-tren di Malaysia, adalah tempoh sangat penting untuk kakitangan syarikat tersebut bertindak sebaik mungkin dan tiada ruang untuk mereka melakukan kesilapan.

Bagi memantau secara menyeluruh pergerakan tren dan penumpang di stesen-stesen MMMSL, beliau berkata sebanyak 1,200 kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di lokasi-lokasi tertentu dan jumlah itu tidak termasuk kamera di dalam tren.

Selain itu katanya, OCC juga menjalankan lebih 1,000 jam simulasi latihan sejak dua bulan lalu bagi menguji kecekapan pusat berkenaan dan kakitangan di lapangan bertindak menyelesaikan krisis.

"Simulasi itu membabitkan aliran trafik, kawalan kuasa elektrik, pergerakan jemaah (di stesen) dan penyelarasan pasukan penyelenggaraan serta kejuruteraan.

"Kita menyasarkan prestasi lebih baik bagi musim haji kali ini berbanding dengan pencapaian melebihi 110 peratus pengoperasian pada tahun lalu walaupun tahun ini kita mempunyai cabaran lebih tinggi kerana pertambahan jumlah jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan itu," katanya.

Sebanyak 16 set tren MMMSL akan beroperasi mulai 29 Ogos ini yang diunjur membawa seramai 350,000 penumpang merentasi sembilan stesen yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina.

-- BERNAMA