BAGAN SERAI: Polis menahan tiga pekerja kampung kerana disyaki menagih dan mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Matang Pasir, Semanggol di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata serbuan pada kira-kira 10 pagi itu dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian hasil maklumat awam.

"Turut dirampas dua ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 593.12 gram, satu tiub lut sinar disyaki berisi dadah jenis methamphetamine (3.35 gram) dan satu paket plastik lut sinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja seberat 3.73 gram.

"Keseluruhan nilai pasaran dadah yang dirampas dianggarkan RM2,100 dan kami percaya mampu dibekalkan kepada 100 hingga 150 pengguna dadah jenis itu," katanya pada sidang media di IPD Kerian di sini, hari ini.

Menurutnya semakan mendapati ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 50-an itu tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah, namun ujian air kencing mereka positif dadah jenis THC dan methamphetamine.

Beliau berkata kesemua mereka direman tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Feb untuk siasatan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA