ALOR GAJAH: Tiga sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka, dua minggu lalu.

Tertuduh A A Dinesh, R C Veeraganeish dan V Sasikumar yang masing-masing berusia 25 tahun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana pertuduhan membunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencapai niat bersama telah melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian terhadap R Darvnrajh, 24.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.24 pagi hingga pukul 9 pagi di tepi jalan berdekatan kebun kelapa sawit Kemuning, Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah pada 10 September 2023.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nurul Bahiyah kemudian menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemuda, R Darvnrajh hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan.
 
Kehilangannya kemudian terungkai apabila mayat pemuda itu ditemui dalam semak di kawasan Kemuning, Alor Gajah pada 16 September lalu.
 
Hasil laporan bedah siasat mendapati mayat mangsa mempunyai 18 kali kesan tikaman antaranya di leher, dada, kedua-dua belah kaki dan tangannya.
 
Selain itu, tulang kepala si mati juga retak pada bahagian sebelah kiri, dua tulang leher patah, tulang lengan tangan kanan patah, tulang lutut dan kaki patah, tulang rahang retak pada beberapa bahagian dan tiga kesan luka pada jantung.

Polis kemudian menggerakkan operasi Op Kejam melibatkan sepasukan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Alor Gajah dan menahan enam suspek yang merupakan rakan mangsa.