Tiga peniaga dikompaun RM50,000 sudah kemuka rayuan - JKNK

Bernama
April 28, 2021 11:06 MYT
Dr Zaini berkata tiga rayuan itu membabitkan peniaga burger, peniaga colek dan pekedai runcit. - Gambar fail
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sudah menerima rayuan daripada tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Ahad lepas.
Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata tiga rayuan itu membabitkan peniaga burger, peniaga colek dan pekedai runcit.
"Kita setakat ini menerima rayuan daripada ketiga-tiga kes terbabit yang masing-masing dikenakan kompaun RM50,000 setiap seorang.
"Pejabat Kesihatan sedang dalam proses untuk mengemukakan fakta kes kepada Ibu Pejabat Kementerian Kementerian (KKM) di Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
BACA: Jual burger depan tangga rumah, peniaga kecewa dikompaun RM50,000
BACA: Dikompaun RM50,000, peniaga colek akui tidak mungkin mampu bayar walau diberi pengurangan
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya akan memanggil semua pemilik premis yang dikenakan kompaun termasuk seorang peniaga burger yang diberi notis kompaun RM50,000 sehingga tular di media sosial.
Shafien berkata tujuan memanggil pemilik-pemilik premis berkenaan ialah untuk menawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan di bawahnya.
AWANI 7:45 [27/04/2021] - Tiga penjaja kena kompaun | Sanggup bayar RM50,000
#peniaga burger #peniaga colek #dikompaun #Kelantan #Peniaga kecil #depan rumah #SOP #polis #JKNK #peniaga sudah kemuka rayuan