KUALA LUMPUR: Seorang peniaga burger kecewa apabila dikompaun RM50,000 oleh pihak polis kerana kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Dengan hanya berniaga di hadapan rumahnya Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, didatangi pihak polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggannya kira-kira jam 11 malam. 

Ketika ini, negeri Cik Siti Wan Kembang itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Bagaimanapun, dia menganggap ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan. 

"Alahai dugaan bulan puasa, berniaga burger depan tangga rumah, pukul 11 malam  polis mari. Niaga burger kena kompaun RM50,000. 

"Semoga rezeki aku dan keluarga bertambah, Ada hikmah di sebalik kejadian, niaga pun untuk buat lepas bayar bil bulan-bulan saja," katanya melalui status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya.

 
Sumber Facebook faisal.burger

 
Dalam pada itu, status yang dimuat naik Wan Mohd Faisal itu turut tular di media sosial. 

Rata-rata netizen bersimpati dengan Wan Mohd Faisal dan menyifatkan tindakan kompaun RM50,000 itu tidak wajar dan berpendapat pihak berkuasa sepatutnya sekadar memberi peringatan, bukan tindakan kompaun. 

Sementara itu, Bernama melaporkan, Wan Mohd Faisal, ketika dihubungi berkata ketika kejadian, semua meja makan di kedainya telah disimpan kerana tiada lagi pelanggan, namun dia belum menutup kedainya kerana sedang menyiapkan pesanan.

Mengulas perkara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, mengesahkan peniaga itu diberi notis kompaun RM50,000 setelah didapati berniaga melebihi waktu yang ditetapkan dalam tempoh PKP iaitu sehingga 10 malam.

Katanya, peniaga itu juga dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk membuka meja untuk pelanggan selain tidak menyediakan peralatan saringan suhu dan sebagainya.

"Disebabkan kesalahan-kesalahan itu kita keluarkan kompaun maksimum sebanyak RM50,000. Bagaimanapun, peniaga berkenaan boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya ketika dihubungi hari ini.