[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Tiga penjenayah ditembak mati selepas cederakan anggota polis

Bernama 24/11/2025 | 11:45 MYT
Dzulkhairi pada sidang akhbar di IPK Melaka hari ini. - Gambar Bernama
MELAKA: Tiga penjenayah ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang sawit Durian Tunggal, Alor Gajah, pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Seorang anggota polis cedera parah selepas dilibas parang oleh seorang penjenayah dalam insiden di ladang sawit Durian Tunggal, Alor Gajah.
  • Polis menembak mati tiga penjenayah yang cuba menyamun premis selepas salah seorang daripada mereka mengancam anggota polis dengan parang.
  • Geng Durian Tunggal yang terlibat dalam insiden tersebut aktif dalam jenayah sejak 2024 dengan rekod jenayah suspek termasuk 39 kes bagi suspek 29 tahun dan 12 kes bagi suspek 24 tahun.


Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an, cedera parah di lengan kiri.

"Kesemua suspek lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis sebelum terserempak pasukan polis yang menjalankan Op Casa Melaka.

"Semasa cubaan menahan penjenayah itu, seorang suspek bertindak agresif dengan melibas parang terhadap anggota polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap ketiga-tiga suspek bagi mempertahankan diri.

Beliau berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan, dua daripadanya berusia 29 dan 24 tahun, manakala seorang lagi masih dikenal pasti kerana tidak membawa kad pengenalan.

"Geng Durian Tunggal aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta. Suspek 29 tahun mempunyai 39 rekod jenayah lampau, manakala suspek 24 tahun mempunyai 12 rekod lampau," katanya.

Modus operandi geng ini ialah memarkir kenderaan dalam ladang kelapa sawit dan berjalan kaki sebelum menyamun rumah, kedai, dan kilang.

Beliau berkata polis merampas tiga bilah parang, satu pemotong jeriji, tiga topeng muka dan tiga pasang sarung tangan, manakala anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Melaka.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Op Casa Melaka dilaksanakan sejak sebulan lalu susulan peningkatan kes samun di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA




#kelapa sawit #rekod jenayah lampau #samun #tembakan